Allah SWT Mendengar Doa/ Permintaan HambaNya
Kita selalu mendengar ayat di atas. Tapi adakah kita benar-benar yakin bahawa Allah SWT mendengar doa daripada hamba-hambaNya?
Setelah 49 tahun diberikan rezeki hidup di dunia ini, banyak perkara dan peristiwa yang berlaku dalam hidup saya yang membuktikan bahawa Allah SWT memang mendengar doa dan rayuan hambaNya. Cuma kadang-kadang kita sebagai hamba yang sombong tidak mahu memohon kepadaNya.
Kadang-kadang kita melihat bagaimana manusia yang mengaku beriman kepada Allah tetapi dalam masa yang sama banyak melanggar larangan daripada Tuhannya. Kadang-kadang saya pelik melihat umat Islam yang diberikan pelbagai kemewahan dan nikmat dunia tetapi secara terang-terangan melakukan dosa sebagai contoh tidak menutup aurat (tidak perlu cakap sama ada tutup aurat itu sempurna atau tidak, saya maksudkan yang ASAS seperti tudung), melakukan perkara yang memalukan dan mencemar imej Islam serta merebut pangkat dan kuasa.
Setelah belajar dan menimba ilmu, saya dapat membuat kesimpulan bahawa sebenarnya kitalah yang tidak memohon dan berdoa petunjuk daripada Allah SWT. Kita sendiri tidak memohon agar hati kita dekat dengan Allah SWT, tidak memohon untuk Allah membuka hati untuk berubah atau tidak berdoa agar menjadikan Rasulullah SAW sebagai contoh akhlak kita. Itulah punca kita dapat melihat bagaimana manusia yang bersifat tabaruj dan sebenarnya diuji dengan istidraj tetapi tidak mengetahuinya. Bukankah Allah telah berfirman, “Berdoalah kepadaKu, nescaya aku akan perkenankan“. [Surah Ghafir:60] Alangkah ruginya jika kita sebagai hambaNya tidak sedikitpun berdoa agar hati menjadi lembut untuk patuh kepada suruhanNya.
Apa yang mendorong saya untuk menulis mengenai perkara ini kerana sekarang ini kita lihat ramai hamba-hamba Allah yang kita kenali (dibaca: selebriti) semakin mendekatkan diri kepada Allah SWT, tetapi pada masa yang sama juga kita dapat lihat ada juga manusia yang angkuh yang secara terang-terangkan ‘menghina’ (pendapat saya la) hukum Allah dan bersifat hipokrit apabila mengenakan tudung/ menutup aurat pada Bulan Ramadan sahaja. Bila Ramadan telah berakhir, mereka kembali membuka aurat……WHATTT ! Mereka ini hamba Allah atau hamba bulan Ramadan?? Astaghfirullah…..