Hari ini 7 Ogos 2021 genaplah 3 tahun selepas peristiwa yang menjadi titik tolak dalam hidup yang akan menjadi ingatan sampai bila-bila. Tarikh 7 Ogos 2018 adalah bersamaan 25 Zulkaedah 1439 iaitu 2 MINGGU sebelum tarikh Wukuf di Arafah! Saya masih di Malaysia pada masa itu tanpa sebarang surat jemputan dari Lembaga Urusan Tabung Haji (LUTH) dan pada hari itulah saya telah membuat keputusan besar untuk menunaikan haji dalam masa 2 minggu. Bayangkan !!
Kuasa Allah menentukan segalanya. Jika Allah swt mengatakan jadi, jadi lah (Kun Faya Kun). Tiada sesiapa boleh menolaknya. Dan peluang untuk menunaikan rukun Islam ke5 ini bukanlah bergantung daripada surat jemputan daripada Tabung Haji. Sebaliknya ia adalah jemputan daripada Allah SWT dalam cara yang kadangkala kita tidak terfikirkan.
Cita-cita Sejak Tahun 2012
Saya dan suami sebenarnya telah mendaftar untuk mengerjakan haji pada September 2010. Mengikut giliran Tabung Haji, kami dijangka akan dapat menunaikan haji pada tahun 2031 (umur saya 57 tahun jika panjang umur !). Pada masa itu kami okay je, maklumlah usia pun masih muda belum 40 tahun dan merasakan adalah menjadi kebiasaan di mana rakyat Malaysia menunaikan haji pada usia ‘pencen’.
Pada Mei 2012 saya dan suami telah berangkat menunaikan umrah seramai 7 orang iaitu bersama-sama keluarga Abang Lang saya dan ibubapa mertua tercinta. Biasalah pertama kali menjejakkan kaki ke tanah suci memang sangat teruja.
Setelah menunaikan umrah kali pertama tersebut, saya telah bertekad untuk menunaikan haji 6 tahun lagi pada tahun 2018 (pada usia saya 44 tahun). Itulah yang saya selalu zikirkan kepada suami iaitu hendak menunaikan haji pada tahun 2018. Walaupun tahu giliran kami mengikut Tabung Haji adalah pada 2031, tetapi saya dah merancang untuk membuat rayuan dan menunaikan haji secara Pakej (betapa tinggi confidence level saya..hehe). Sejak tahun itu saya dah mula menambah tabungan di Tabung Haji apabila mendapat ada lebihan gaji atau semasa menerima bonus tahunan saya.
Masa pun terus berlalu…
Pada Disember 2016, saya dan suami telah mendaftar diri untuk menghadiri kursus Haji anjuran Tabung Haji di masjid kawasan perumahan kami walaupun kami tidak mendapat sebarang jemputan daripada Tabung Haji untuk tunaikan ibadah Haji itu. Suami yang sangat memahami saya mencadangkan agar kami pergi juga kursus sekadar menambah ilmu. Kursus telah diadakan pada setiap hari Ahad selama 2 jam bermula 9.30 pagi dari Januari 2017 hingga April 2017 (14 minggu).
Ustaz yangmengajar kami adalah Ustaz Abdul Rahman daripada Lembaga Tabung Haji. MashaAllah… sangat seronok ilmu yang dikongsikan beliau. Jelas, padat dan mudah difahami. Tempoh 2 jam masa berlalu tanpa disedari. Boleh dikatakan saya dan suami hadir setiap kelas walaupun kadang-kadang ada hari clash dengan kenduri atau hal-hal lain, kami tetap hadir ke kursus.
Memandangkan kami pernah menunaikan umrah, jadi ada setengah perkara yang disebutkan dapat saya bayangkan. Walau bagaimanapun, pada pendapat saya sesiapa yang ingin menunaikan Haji adalah ‘wajib’ ikuti kursus Haji walaupun telah berkali-kali menunaikan umrah kerana ibadah Haji ada berbeza dengan umrah. Jika Haji terbatal dengan sengaja atau tidak, dan anda tidak melepaskan diri daripada Ihram atau membayar dam, ia akan mengakibatkan ‘Haji Tergantung’ dan berdosa. Anda tidak boleh menikahkan anak kerana pernikahan tersebut akan menjadi tidak sah ! Na’uzubillah. Jangan main-main dengan rukun Islam ke5 ini.
Pada Januari 2018 juga saya dan suami menjalani kursus Haji buat kali kedua walaupun masih tiada surat jemputan daripada Tabung Haji. Pada masa itu saya bercadang untuk membuat rayuan menunaikan haji setelah selesai berkursus.
Setelah tamat kursus haji buat kali kedua pada 2018 dan menerima sijil penyertaan, maka bermulalah proses rayuan saya untuk menunaikan haji pada tahun 2018 juga.
Rayuan Untuk Menunaikan Haji Secara Pakej
Pada awal Januari 2018 saya telah membuat rayuan dengan Tabung Haji untuk menunaikan haji pada tahun itu juga.
Pada pertengahan April 2018 pula, saya telah menghantar surat rayuan untuk menunaikan haji di bawah pakej syarikat Rayhar dan dimaklumkan keputusan akan dimaklumkan selewat-lewatnya pada Jun 2018.
Walau bagaimanapun sehingga masuk bulan Julai 2021 saya masih belum mendapat jawapan sama ada daripada Tabung Haji mahupun syarikat Rayhar.
Pada masa itu juga saya, suami dan adik-adik ipar agak sibuk memandangkan bapa mertua baru disahkan mengidap kanser buah pinggang pada masa itu dan perlu menjalani pembedahan untuk membuang salah satu buah pinggang di Hospital Selayang. Walaupun sibuk dengan urusan bapa mertua memandangkan adik beradik ipar dan ibu mertua yang berulang-alik ke hospital dengan menjadikan rumah saya sebagai tempat menginap, tetapi saya tetap tidak lupa dan masih menunggu jawapan untuk mengerjakan haji. Setiap hari hampir setiap waktu solat saya sentiasa berdoa agar Allah swt menjemput saya dan suami untuk menunaikan haji dalam masa terdekat.
Pada hujung Julai 2018, setelah tiada jawapan diterima, saya telah menghubungi Tabung Haji dan Rayhar. Saya dimaklumkan bahawa permohonan saya TIDAK BERJAYA dan kuota untuk mengerjakan haji telah habis pada tahun 2018 itu.
Saya menerima ketentuanNYA dan menganggap saya belum ada rezeki untuk menunaikan haji tahun itu. Saya pasrah sehinggalah……..
Apakah Yang Menyebabkan Saya Bertekad Juga Untuk Menunaikan Haji ?
Sebenarnya setiap hari perjalanan saya ke pejabat (30km) memakan masa selama sejam atau lebih. Ini disebabkan trafik dari rumah saya untuk keluar ke jalan raya hanyalah 4km sebelum masuk ke Lebuhraya sahaja, tetapi saya perlu beratur selama 30 minit. Jika saya terlewat keluar 5 minit boleh mengakibatkan saya perlu mengambil masa extra 15-20 minit lagi dan kadang-kadang boleh menyebabkan saya lewat masuk ke pejabat. Oleh itu, saya akan pastikan saya keluar dari rumah setiap pagi sebelum 6.30 pagi walaupun waktu pejabat saya bermula 8.00 pagi.
Bagi mengisi kesunyian di awal pagi dengan memandu sendirian, saya akan buka radio untuk mendengar tafsir Al-Quran di radio IKIM (91.5 FM) pukul 6.30 – 6.45 pagi dan kemudian saya akan tukar ke Nasional FM (97.2 FM) untuk mendengar Ustaz Wan Sohor Bani Leman atau Ustaz Muhadir Haji Jol pada 6.45 – 6.55 pagi.
Satu hari semasa saya sedang mendengar tafsir Al Quran di IKIM, tiba-tiba Ustaz menyentuh mengenai bab ibadah Haji. Antara kata-kata beliau yang terpahat di ingatan saya adalah – “Jangan jadikan alasan menunggu giliran haji sebagai alasan untuk tidak menunaikan ibadat Haji. Sekiranya kita mempunyai rezeki lebih, apa salahnya kita berusaha untuk pergi menunaikan haji menggunakan pakej yang kita mampu. Jika giliran kita masih lambat dan kita mampu, usahakanlah agar dapat pergi menggunakan Pakej Haji. Ini adalah tanda kita sayangkan Allah dan agama. Ini adalah bukti kecintaan kita kepada Allah ! Jika kita mencintai seseorang, kita mesti sanggup berkorban kan?
Allahuakbar ! Selepas mendengar kata-kata Ustaz tersebutlah yang menyebabkan saya bertekad untuk berusaha juga selagi masih belum penerbangan terakhir ke Jeddah (selalunya seminggu sebelum wukuf). Ini bermaksud, selagi belum tarikh 15 Ogos 2018 saya masih ada peluang untuk mengerjakan haji (tarikh wukuf 2018 adalah jatuh pada 22 Ogos 2018).
Jangan Sesekali Berhenti Berdoa
Sejak hari itu, saya setiapkali selepas solat saya akan sentiasa berdoa agar Allah menjemput saya dan suami untuk mengerjakan Haji pada tahun itu juga. Saya masih ingat saya menziarah kawan baik dan juga jiran saya sebelum mereka berangkat ke Tanah Suci. Sebelum balik saya membisikkan kepada mereka agar mendoakan saya supaya dapat menunaikan haji dalam masa terdekat.
Pada 7 Ogos 2018, semasa saya sedang bekerja tiba-tiba tergerak hati untuk membaca whatsapp group Kaum Ibu di Kejiranan saya. Tiba-tiba saya terbaca seorang jiran berkongsi maklumat bahawa ada kekosongan untuk menunaikan Haji Furada dengan sebuah syarikat berpangkalan di Bidor Perak. Saya jadi berdebar dan terus menelefon jiran tersebut bertanyakan sama ada iklan tersebut adalah benar ataupun scam. Tetapi jiran saya memberi jaminan bahawa CEO syarikat tersebut merupakan kenalan menantu beliau membuatkan saya berani untuk mencuba (andai kata saya ditipu, saya boleh cari jiran saya ini..hihi). Beliau memberikan nombor telefon untuk dihubungi.
Saya pun menelefon syarikat pengendali tersebut dan pengarah urusan syarikat tersebut memaklumkan masih ada 20 kekosongan sahaja. JIka hendak, saya perlu hubungi Ustaz Fadzli dengan segera. Saya terus menelefon Ustaz Fadzli dan beliau meminta saya memperbaharui passport dan mengambil suntikan vaksin pada hari itu juga!
Tindakan Yang Perlu Diambil Sebelum Berangkat
PENAFIAN: INI ADALAH UNTUK HAJI VISA FURADA SAHAJA. SEKIRANYA ANDA MENGIKUT MUASASSAH ATAU PAKEJ MELALUI TABUNG HAJI, TIDAK SEMUA PROSEDUR INI AKAN ANDA LALUI.
Setelah berbincang dengan suami, beliau bersetuju untuk teruskan rancangan ini. Beliau juga yakin sama seperti saya untuk menunaikan Haji memandangkan telah 2 tahun mengikuti kursus haji. Saya pun menghubungi Ustaz Fadzli dan beliau maklumkan saya perlu kemukakan semua dokumen selewatnya esok 11.00pagi 8 Ogos 2018 memandangkan tempoh wukuf yang semakin hampir.
Perbaharui Pasport
Memandangkan pasport saya sudah hampir tamat tempoh, maka pada petang 7 Ogos 2018 juga saya perlu perbaharui. Saya terus ambil cuti segera petang tersebut. Dalam perjalanan ke rumah untuk mengambil pasport, saya hubungi ibu di kampung meminta bantuan untuk menjaga anak-anak selama sebulan. Alhamdulillah ibu saya bersetuju dan saya memaklumkan akan mengambil beliau dari kampung pada hujung minggu.
Alhamdulillah pasport dapat saya perbaharui pada petang itu juga memandangkan tidak ramai orang pada petang itu. Suami tidak perlu perbaharui memandangkan pasportnya masih sah berbaki 2 tahun.
Ambil Suntikan Vaksin
Memandangkan jemaah haji diwajibkan mengambil suntikan vaksin, maka saya perlu mendapatkan suntikan pada malam itu juga.
Saya masih ingat kami mengambil suntikan vaksin pada pukul 1.00 pagi di klinik swasta 24 jam di kawasan perumahan saya. Mujur lah klinik itu masih ada stok vaksin tersebut..
Urusan Sebelum Permohonan Visa Furada
Pada pagi 8 Ogos 2018, saya bergerak ke Putrajaya dengan membawa salinan sijil nikah bagi memohon cop di Pejabat Majlis Agama Wilayah Persekutuan. Sebelum itu kena ambil gambar ukuran pasport Visa Haji/Umrah. Mujur ada kedai gambar di Putrajaya yang buka awal pagi.
Saya ingat lagi semasa dalam perjalanan ke Putrajaya saya telah mesej Ustaz Abdul Rahman memohon izin daripada beliau sekiranya saya ada sebarang kemusykilan saya akan bertanya beliau secara terus semasa di Tanah Suci nanti. Beliau bersetuju dan mendoakan urusan saya dan suami dipermudahkan kerana permohonan Haji secara Visa Furada tidak sama seperti permohonan melalui Tabung Haji.
Permohonan Visa Furada
Setelah selesai mendapat cop dan gambar, saya kena bergerak ke Kedutaan Arab Saudi. Kami perlu dapatkan surat kebenaran dari kedutaan ini. Semasa di sini, pihak kaunter telah menyemak sama ada nama syarikat yang kami akan ikut ini ada atau tidak dalam senarai.
Setelah menyemak, mereka telah tandatangan 1 borang untuk dibawa semasa permohonan visa Furada oleh syarikat Ustaz Fadzli.
Setelah mendapat dokumen yang mencukupi, kami bergegas pula ke Tabung Haji di KL untuk membuat pindahan wang bagi membayar kos Haji kami. Alhamdulillah, urusan dipermudahkan. Bulat mata saya melihat duit dalam Tabung Haji telah ditolak hampir 6 angka 🙂 Dalam hati saya berkata, ini adalah pengorbanan kecil sahaja untuk membuktikan cinta hambaMu ini Ya Allah..
Setelah itu, kami membawa semua dokumen dan resit pemindahan wang untuk dihantar kepada Ustaz Fadzli yang telah menunggu di bangunan hotel sebelah.
Rupanya, menurut beliau, hanya tinggal kami berdua sahaja yang masih belum menyerahkan dokumen. Beliau perlu bergegas pula ke Kedutaan Arab Saudi di KL untuk permohonan Visa Furada kesemua jemaah.
Membeli Insurans Perlindungan
Memandangkan kami tidak pergi di bawah Tabung Haji, kami dikehendaki membeli insurans sekiranya ada kecemasan yang memerlukan saya dan suami masuk wad ketika di Tanah Suci.
Premium yang perlu dibayar oleh saya dan suami adalah RM800.00. Ia merangkumi kemasukan wad sehinggalah sekiranya berlaku kematian.
Membeli Kelengkapan Haji
Memandangkan masa suntuk lebih kurang 1 minggu lagi, saya dan suami menggunakan segala kelengkapan dan pakaian semasa mengerjakan umrah pada 2012 dahulu. Memandangkan tempoh masa lebih kurang 1 bulan untuk mengerjakan haji maka saya memerlukan juga tambahan pakaian dan peralatan. Saya ingat lagi hampir setiap hari selepas pulang dari kerja saya akan singgah di kedai Al Khauthar berdekatan rumah saya. Sampaikan adik yang jaga kedai itu pun kenal sudah.
Tapi sayangnya kedai Al Khauthar ini telahpun tutup semasa PKP tahun 2020 lalu 🙁
Meninggalkan Wasiat
Sebelum berangkat menunaikan rukun kelima, saya dan suami telah meninggalkan wasiat secara lisan kepada anak lelaki kami. Kami tunjukkan semua sijil Insurans dan di mana dokumen-dokumen penting disimpan.
HAJI IFRAD : PERJALANAN HAJI BERMULA…
PENAFIAN: INI ADALAH UNTUK HAJI VISA FURADA SAHAJA. TURUTAN RUKUN DAN WAJIB HAJI FURADA INI TIDAK SAMA DENGAN TURUTAN MUASASSAH TABUNG HAJI
Penerbangan Ke Jeddah
Penerbangan kami adalah pada 15 Ogos 2018 pukul 4.45pagi iaitu 8 hari sebelum wuquf. Difahamkan penerbangan terakhir adalah pada 16 Ogos 2018.
Jemaah kami berkumpul di Hotel Movenpick Sepang selepas waktu Isya’. Di situ kami diberikan tag nama dan passport yang telah diluluskan Visa Haji Furada.
Saya masih ingat lagi pada malam itu semua adik beradik saya dan suami, ibu dan bapa mentua serta ibu saya yang tercinta hadir menghantar kami di situ. Ada beberapa orang sepupu sebelah arwah abah juga hadir pada malam itu iaitu Ambong Sham, Kak Long Naha serta Kak Lang Atie bersama suami Hj Din.
Biasalah..masa itu yang paling sedih adalah untuk meninggalkan anak-anak terutama anak yang bongsu iaitu Maryam yang baru darjah 1. Tetapi saya yakin Allah akan menjaga mereka dan ibu saya yang akan menjaga mereka selama sebulan.
Saya tidak menangis semasa melambai-lambai kepada anak-anak pada masa itu kerana pada ketika itu hati saya sudah meronta-ronta untuk ke Tanah Suci menunaikan rukun kelima.
Selepas semua ahli keluarga pulang, para jemaah lelaki telah diminta untuk menukar pakaian kepada ihram. Memandangkan hanya tinggal lebih kurang 1 minggu untuk wuquf, kami semua memilih untuk mengerjakan Haji Ifrad. Haji Ifrad bermaksud mengerjakan haji dahulu diikuti umrah. Dan ini bermaksud kami akan berada di dalam Ihram selama 7 hari !!
Jika mengerjakan umrah dahulu baharu haji, ia dipanggil Haji Tamattuk. Kebanyakan jemaah haji muasasah Malaysia mengerjakan Haji Tamattuk. Jemaah perlu membayar dam seekor kambing jika memilih Haji Tamatuk dan bayaran untuk dam ini selalunya telah dimasukkan dalam perbelanjaan Haji oleh Tabung Haji.
Berniat Ihram di Miqat Qarnul Manazil
Perjalanan kami bermula lebih kurang pukul 5 pagi memandangkan ada kelewatan hampir 1 jam. Sepanjang perjalanan saya tidak dapat melelapkan mata. Mungkin disebabkan terlalu teruja.
Apabila lebih kurang 30 – 45 minit sebelum sampai ke Jeddah, pengumuman telah dibuat oleh Ustaz bahawa kami perlu bersedia untuk berniat haji dan berihram. Memandangkan kami para jemaah dalam perjalanan daripada Malaysia melalui udara dan akan melaksanakan Haji Ifrad, maka kami perlu berniat di Qarnul Manazil.
Kami telah dipimpin untuk berniat Haji dan secara automatik kami telahpun berada di dalam ihram. Ini bermakna 13 larangan ihram pun berkuatkuasa. Kami tidak boleh berwangi-wangian, bersikat (kerana khuatir rambut gugur semasa bersikat). Masa itu saya merasa agak gementar… Dan bermulalah talbiah…
Berangkat ke Mekah
Apabila sampai di Jeddah, passport kami telah diambil dan kami diberikan lanyard beserta tag nama yang akan digunakan sepanjang kami di Tanah Suci ini. Kami juga telah diberikan salinan visa haji yang telah diluluskan untuk dibawa sepanjang masa.
Setelah itu kami menaiki bas ke Mekah dan sepanjang perjalanan kami bertalbiah..
Tawaf Qudum
Sampai sahaja di Madjidil Haram, kami melakukan Tawaf Qudum yang bermaksud selamat datang. Jika kita pergi ke mana-mana masjid tak kiralah di Malaysia atau luar negara, kita perlu solat tahiyatul masjid dahulu. Tetapi apabila kita memasuki Masjidil Haram, kita perlu melakukan tawaf qudum bukannya solat tahiyatul masjid.
Menginap di Al Aziziyah, Makkah
Jika kita mengerjakan haji secara pakej dan bukannya melalui muasasah, kemungkinan besar kita akan ditempatkan di Aziziyah, Mekah dan bukannya di hotel sekitar Masjidilharam. Al Aziziyah ini terletak 6km daripada Masjidilharam iaitu bersebelahan Mina tempat melontar Haji.
Di Al Aziziyah ini saya ditempatkan bersama-sama 5 jemaah wanita yang lain di dalam satu bilik. Setiap 2 bilik di hotel ini berkongsi 1 bilik air.
Masyair Haji Bermula
Penafian : Seperti saya telah maklumkan pada awal tadi, turutan perjalanan haji saya selepas Wukuf di Arafah adalah tidak sama dengan turutan perjalanan haji muasasah oleh Tabung Haji memandangkan saya melaksanakan Haji menggunakan pakej visa furada.
Wukuf Di ARAFAH
Wukuf di Arafah adalah rukun fardu di dalam mengerjakan Haji. Jika tiada wukuf, maka tiadalah Haji.
Memang benar dikatakan haji itu adalah susah, mencabar, comot dan berdebu. Jika kita mempunyai duit yang banyak, mungkin kita boleh memilih pakej berharga ratusan ribu dan boleh merasai kemewahan dan kesenangan di Arafah. Jika tidak, kita akan duduk bersama berjuta hamba Allah di dalam khemah-khemah disediakan di mana kita perlu menunggu hampir 30minit untuk masuk ke tandas. Disebabkan itu, saya jarang minum bagi mengelakkan saya ke tandas walaupun cuaca sangat panas.
Wukuf bermula selepas masuk waktu zohor pada 9 Zulhijjah. Saya memang sentiasa ternanti-nanti waktu wukuf memandangkan pada masa inilah, Allah SWT akan berada hampir dengan hamba-hambanya di langit paling bawah sambil berbangga-bangga kepada Malaikat bahawa hamba-hambaNya sedang memohon ampun daripadaNya dan berdoa kepadaNya. Pada masa ini jugalah segala doa hambaNya juga InshaAllah akan dimakbulkan.
Tetapi ia tidak semudah disangka, dengan keadaan panas terik, dahaga dan tidak selesa akibat berpeluh, ia akan menjadi sesuatu yang sukar untuk fokus. Saya dan suami berusaha mencari pokok untuk berdoa bersama-sama, tetapi gagal. Tidak banyak pokok di Arafah dan jika ada pun semuanya telah di’cop’ oleh jemaah lain.
Jadi saya dan suami, hanya berteduh menggunakan tuala kecil di kepala sambil berdoa bersama-sama. Suami membacakan semua doa yang telah ditulis bersama-sama. Selepas selesai membaca doa saya dan suami, kami membaca doa dan hajat yang dikirim daripada anak-anak, mak, mertua, adik beradi, kawan-kawan dan saudara mara. Setiap seorang nama yang mengirim dan doanya disebutkan satu persatu. Antara semua doa, doa anak saya Nurin yang paling kreatif dan saya tidak sangka akan doa dan permintaan beliau. Mudah-mudahan doa Nurin dimakbulkanNya.
Setelah selesai berdoa di bawah panas terik, saya dan suami pun masuk semula ke khemah kami. Di dalam khemah kami sambung berzikir, membaca al-Quran dan berehat sehingga masuk waktu Asar.
Setelah masuk waktu Asar, Ustaz Fadzli dan mutawif kami Abd Ghoni telah meminta kami para jemaah bersiap sedia untuk bergerak ke Masjidilharam bagi mengerjakan rukun Haji seterusnya iaitu Tawaf. Kami perlu bertolak awal memandangkan kedudukan bas yang agak jauh dan kami perlu berjalan kaki hampir 3km menuju ke bas. Ini disebabkan kesesakan lalulintas yang dijangka berlaku selepas waktu Wukuf.
Tawaf Haji
Setelah menaiki bas, kami pun bertolak lah menuju ke Masjidilharam. Pada masa ini, waktu maghrib semakin hampir dan keadaan lalulintas yang sesak.
Pada masa inilah Masha Allah saya lihat satu pemandangan yang amat menyentuh hati saya. Semasa dalam bas, saya dapat melihat lautan manusia yang berjalan kaki daripada Arafah menuju Mina. Saya merasa sangat kerdil. Di saat saya bersenang lenang menaiki bas ke Masjidilharam, ada berjuta umat Islam hanya berjalan kaki lebih 10km menuju Muzdalifah dan Mina hingga menjadikan lautan manusia pada malam itu. ALLAHUAKBAR !
Kami sampai di Masjidilharam selepas maghrib. Kami disarankan oleh Ustaz Fadzli untuk solat Maghrib dan Isyak dahulu dan selepas itu mengisi perut dahulu sebelum berjumpa semula di perkarangan Kaabah pada pukul 11.00 malam. SubhanAllah. Walaupun kami sampai awal tetapi masih belum dapat melakukan tawaf kerana masih belum masuk waktu.
Pada ketika ini, di dalam MasjidilHaram kelihatan kosong. Saya dan suami bersolat di tingkat 1 dan hanya nampak beberapa jemaah sahaja pada masa itu. Memang terasa sungguh nikmat pada masa itu. Tidak dapat digambarkan.
Di dataran MasjidilHaram pula, terdapat ramai rakyat Saudi berkumpul bersama keluarga. Anak-anak mereka berlari ke sana ke mari dengan riang gembira. Rupa-rupanya pada masa inilah penduduk Mekah yang tidak menunaikan haji berkelah bersama keluarga masing-masing. Alangkah beruntungnya mereka dapat piknik di perkarangan MasjidilHaram.
Pada pukul 11 malam kami berkumpul di perkarangan Baitullah (seperti dalam gambar profil). Kami dimaklumkan oleh Ustaz Fadzli bahawa tawaf hanya boleh dilakukan selepas pukul 12.50 pagi. Bagi memastikan kami bertawaf selepas masuk waktu, Ustaz Fadzli sarankan agar kami mula tawaf pukul 1.00 pagi agar benar-benar yakin. Sementara menunggu waktu untuk tawaf, kami duduk sambil berzikir atau membaca ayat suci Al Quran.
Ustaz Fadzli maklumkan sebaik sahaja selesai tawaf, kami hendaklah terus mengerjakan Saei. Dan selepas tawaf dan saei ini selesai, kami dikehendaki berkumpul di luar MasjidilHaram. Ustaz mengingatkan agar kaum lelaki jangan bertahalul secara bergunting sebaliknya beliau akan membawa kaum lelaki ke kedai gunting berhampiran untuk bercukur. Ini bagi memastikan kaum lelaki bertahalul mengikut saranan dan doa Baginda Rasulullah SAW yang amat kita kasihi iaitu bercukur (botak) dan bukannya bergunting beberapa helai rambut. Saya masih ingat lagi kumpulan kami yang dihadiri oleh 1 keluarga yang mempunyai 3 orang anak lelaki remaja. Ustaz telah mengingatkan anak-anak remaja itu agar bercukur walaupun mereka pada masa itu berfesyen rambut seperti KPop 🙂 Dan alhamdulillah anak-anak ini merupakan anak-anak yang soleh.
Antara semua rukun dan perkara wajib haji, tawaf lah yang paling saya geruni. Ini disebabkan jika batal atau tidak sah tawaf, maka rosaklah ibadah Haji. Saya perlu memastikan sepanjang tawaf, aurat saya tidak terbuka, wuduk tidak terbatal, kaki/kain/seluar/stokin saya tidak terkena najis dan yang paling penting pusingan tawaf cukup sempurna 7 pusingan. Andai kata terbatal, saya perlu ulang semula dengan mengambil wuduk dan seterusnya menyambung kembali pusingan dengan sempurna.
Saie Haji
Setelah selesai Tawaf Haji, saya dan suami pun bergerak menuju bukit Safa untuk mengerjakan Saie. Mengerjakan saie daripada bukit Safa ke Marwah tidaklah seberat mengerjakan tawaf kerana ia boleh dilakukan tanpa wuduk dan jika aurat terbuka tanpa sengaja pun ia tetap sah. Saie dilaksanakan bermula dari Safa sebanyak 7 kali dan berakhir di Marwah.
Bertahalul Awal
Setelah selesai saie, maka saya pun bertahalul awal dengan bergunting. Maka 10 daripada 13 larangan ihram telahpun gugur bagi saya. Tetapi bagi suami masih belum lagi kerana seperti dimaklumkan oleh ustaz Fadzli awal tadi bahawa semua jemaah lelaki perlu bertahalul dengan bercukur.
Kami pun berkumpul di luar MasjidilHaram bagi menunggu semua jemaah lelaki selesai mengerjakan saie dan seterusnya bergerak ke kedai gunting. Pada masa tukang gunting mencukur rambut suami, maka suami pun berniat bertahalul. Maka kami semua pun selesai tahalul awal. Ini bermakna kaum lelaki sudah boleh memakai pakaian biasa.
Walau bagaimanapun kami perlu bergegas ke Muzdalifah bagi mengutip batu untuk melontar di Mina. Kami perlu sampai ke Muzdalifah sebelum subuh. Jika tidak, kami perlu membayar dam.
Bermalam di Muzdalifah (Mengutip Batu)
Setelah bertahalul awal, kami pun bergegas ke Muzdalifah untuk mabit (bermalam) sebentar sebelum subuh. Ini hanyalah turutan bagi jemaah haji secara visa furada atau pakej.
Bagi jemaah muasasah Tabung Haji, mereka masih belum boleh bertahalul awal disebabkan mereka masih belum tawaf haji ataupun melontar di Mina. Bagi jemaah muasasah, mereka akan bermalam di muzdalifah dan esoknya mereka akan bergerak ke Mina bagi melaksanakan wajib haji iaitu melontar di ketiga-tiga Jamrah pada 11-13 Zulhijjah. Setelah melontar baru lah jemaah haji muasasah bertahalul awal.
Namun, bagi saya, suami dan jemaah yang bersama-sama kami hanya berhenti seketika sahaja di Muzdalifah. Setelah itu kami berangkat semula pulang ke hotel yang terletak di Al Aziziyah. Pada masa ini kami para jemaah wanita sudah bersyukur kerana telah gugur 10 larangan ihram kerana kami telahpun bertahalul awal. Saya ingat lagi pada masa ini semua jemaah wanita boleh dikatakan mengambil masa yang lama semasa mandi. Apa tidaknya, setelah 8 hari tidak boleh bersabun, bersyampu dan bersikat, pada hari ini kami telah boleh bersabun dan bersyampu wangi serta berbedak dan bersikat 🙂
Melontar di Mina
Ibadah wajib haji seterusnya adalah melontar di Mina.
Memandangkan hotel kami di Al Aziziyah adalah bersebelahan dengan tempat melontar, jarak hotel ke pintu masuk tempat melontar hanyalah 200 meter. Maka kami tidak bermalam di khemah Mina yang terletak 3km drp tempat melontar yang menempatkan para jemaah muasasah.
Tetapi, seperti sedia maklum, ibadah haji tidaklah semudah itu. Ibadah haji memang memerlukan pengorbanan dan kepayahan sebelum ianya diterima Allah SWT.
Walaupun kedudukan hotel dengan tempat melontar hanyalah 500 meter, tetapi kami tidak boleh terus melontar selepas masuk waktu Isyak 10 Zulhijjah. Ia bukanlah semudah A B C, iaitu masuk waktu solat Isyak, keluar 500 meter ke Jamrah untuk melontar dan seterusnya balik ke hotel.
Sebaliknya, kami perlu berada di dalam Mina sekurang-kurangnya 5 jam selepas waktu Isyak sebelum boleh melakukan lontaran di Jamrah 🙂 Daripada tanda di atas bukit berdekatan ada ditunjukkan arah sempadan Mina. Jadi kami perlu memastikan kami berada di dalam kawasan tersebut 5 jam barulah boleh melontar di Jamrah Aqabah. Bayangkan di kawasan yang sempit itu kami tidak dibenarkan duduk atau berehat. Sebaliknya kami perlu berlegar-legar selama 5 jam tersebut. Masa itu terasa betapa lamanya masa berlalu.
Tetapi bagi jemaah muasasah, mereka akan bermalam di Mina. Selepas solat subuh pada 11 Zulhijjah barulah mereka bergerak beramai-ramai bersama jutaan jemaah haji lain dari khemah di Mina menuju ke Jamrah. Jarak perjalanan adalah lebih kurang 3.5 km satu hala.
Setelah yakin cukup 5 jam, barulah kami melontar di Jamrah Aqabah. Setelah selesai melontar di Jamrah Aqabah, maka gugurlah larangan ihram kami sepenuhnya..Alhamdulillah… selesailah tahalul Qidam.
Pada keesokan harinya, Ustaz Fadzli mencadangkan kepada sesiapa yang ingin bermalam di Mina boleh berbuat demikian. Maka tidak perlu untuk kami berlegar-legar di sekitar Jamrah selama 5 jam selepas Isyak. Memandangkan saya rasa menunggu 5 jam itu terlalu lama dan ingin merasa keadaan bermalam di Mina, saya dan suami bersama-sama 14 orang kumpulan jemaah kami bersetuju untuk bermalam di Mina.
Maka selepas solat Isyak, kami 16 orang jemaah pun bergerak berjalan kaki menuju ke khemah kami di Mina. DI khemah ini barulah kami merasa seperti jemaah haji muasasah yang lain di mana untuk masuk ke tandas dan untuk mandi kami perlu menunggu paling kurang 45minit !. Sehinggakan ada golongan tua yang tidak tahan terpaksa melepaskan hajat kecil di atas lantai…huhu
Pukul 4 pagi saya sudah bangun untuk mandi dan bersiap utk solat subuh. Setelah selesai solat subuh, kami pun mula bergerak menuju ke tempat melontar. Masa ini saya rasa sayu dan seronok, bayangkan beramai-ramai bersama para jemaah berjalan sejauh 3.5km. Laluan kami telah dibahagikan mengikut tingkat. Tempat meliontar telah dipecahkan kepada 4 tingkat dan laluan perjalanan kami dari khemah di Mina telah diasingkan mengikut tingkat. Alhamdulillah kami selesai melontar dalam pukul 8 pagi. Selepas itu perut lapar dan kami mencari makanan iaitu kedai Al Baik di Mina.
Umrah Wajib Haji
Setelah selesai ibadah melontar di Mina, selesailah Masyair Haji kami. Memandangkan kami mengerjakan Haji Ifrad, maka kami wajib mengerjakan ibadah umrah setelah selesai mengerjakan ibadah Haji.
Niat Di Miqat
Seperti juga Haji, untuk mengerjakan umrah kita mesti berniat untuk mengerjakan umrah. Saya tak ingat sama ada kami keluar menuju ke miqat atau kami berniat daripada hotel sahaja.
Tawaf Umrah
Sama seperti Haji, tawaf merupakan ibadah yang paling sukar buat saya kerana kita perlu pastikan tidak batal wuduk, aurat tidak terbuka dan tidak terkena najis. Dan pusingan cukup 7 kali dengan sempurna.
Saie Umrah
Sama seperti Haji, saie perlu dilaksanakan selepas tawaf. Untuk saie umrah, saya dan suami memilih menaiki skuter 50 riyal seorang 🙂
Tahalul
Selesai sahaja Saie, maka saya dan suami pun bertahalul. Memandangkan suami masih lagi tiada rambut, maka cukup sekadar saya lalukan sahaja gunting di kepala suami saya.
DENGAN TAHALUL INI, MAKA SELESAILAH SUDAH IBADAH HAJI KAMI pada 1439H bersamaan 2018 Masihi. Semoga Allah menerima ibadah Haji saya dan suami.. AAMIIN..
Assalamualaikum wbt alhamdulilah terima kasih puan perkongsian Haji Furada..saya baca sampai menangis..sebab apa yg puan tulis kan itu lah perasaan saya setelah saya selesai mengerjakan umrah pada tahun 2022..pada ketika itu saya 1 sen pun tak ada simpanan cuma berbekalkan keyakinan sya tetap akan pergi dipendekkan cerita sehingga lah saya terfikir untuk mengadaikan emas saya bagi perbelanjaan umrah saya..tanpa fikir panjang rm1000 deposit kepada travel agent pada ketika itu sya tidak bertanya fasilitis hotel berapa Km, makanan dan sebgainya yg saya mahu adalah sampai kaki ke MekahMadinah utk mengerjakan Umrah.. MasyaAllah sungguh Allah itu Maha baik terlaksanlah ibadah umrah saya bersam kedua org tua saya.. balik dari umrah hati sya semakin kuat utk pergi pula mengerjakan haji..Ya Allah selama sya menyimpan di TH..ada saja kekangan kewangaan membuatkn sya kadang mengeluarkan jumlah wang utk kegunaan menyelasaikan permasalahan..tapi balik dari umrah sya nekad tidak akan memgeluarkan walau 1 sen duit di TH..besar hati&doa sya menjadi tetamuNYA.. walaupun sya tau nilai simpanan belum mencukupi tp sya tetap buat Rayuan dgn TH..mcm puan kata tiada yg Mustahil Allah swt akan pandang usaha kita..sya kata pda suami kita mesti kerja kan Haji sebelum usia lanjut memdangkan semasa umrah pun perlukan tenaga lebih ini lagi haji.. Doakan kami ya puan Hajah..Sya cuba text dgn pakej2 Haji Furada memakan kos rm90K mulanya terkejut sbb sya tiada pengalaman langsung info mengenai Haji Furada bila sya tau kos nya.. SubhanaAllah terkejut jga..tp Sekali lagi mcm puan kata bukan surat jemputan itu utama..tp Jemputan dari Allah swt itu yg utama..andainya tahun neh Allah belum rezeki kan kami menunaikan Haji..Mohon Puan Hajah doakan saya&Suami menunaikan Haji di Usia sebelum pencen.. Terima kasih Allah pertemukan tulisan dari puan hajah..banyak lagi kiranya sya mau kongsi&bertanya namun cukup setakat ini..maaf mencuri masa puan hjh membaca text saya.. Semoga Allah swt pertemukan kita tidak di Dunia namun Di akhirat Nanti.. Aamiin ya Rabbalamiin.. selamat menjalani Ibadah puasa 1445H…Semoga Allah swt terima segala Amal ibadahkita dan nama kita semua Muslim muslimat umat Nabi Muhammad saw di tempatkan di Syurga.. Aamiin ya Rabbalamiin ❤️🌹
Norli
Alhamdulillah!