Iya.. percayalah. Hidup ini sangat singkat. Dulu saya tidak percaya. Tapi sekarang ini barulah saya merasa bahawa hidup ini sangatlah singkat.
Tahun 2003
Saya masih ingat lagi, tahun 2003 adalah tahun pertama saya mendengar ayat ” HIDUP INI ADALAH SEKEJAP, SINGKAT, SESAAT, CEPAT”. Pada awal tahun 2003 tersebut iaitu semasa saya belum mencecah usia 29 tahun, saya telah mengikuti satu kursus yang dianjurkan oleh sebuah Agensi Kerajaan (saya tidak ingat agensi apa). Saya bertuah kerana pada masa itu hanya 2 orang sahaja daripada Agensi saya yang terpilih untuk mengikuti Kursus Pengurusan Perniagaan Islam di mana kursus itu berlangsung selama 3 hari.
Sebenarnya banyak perkara yang diajarkan semasa kursus ini tetapi saya pun dah terlupa. Mungkin faktor usia..haha. Tetapi sehingga hari ini masih terngiang-ngiang adalah ayat Ustaz tersebut mengenai betapa cepatnya masa berlalu. Saya masih dapat bayangkan muka Ustaz tersebut yang saya kira usianya pada masa itu tidak kurang 45 tahun. Riak air muka Ustaz tersebut bersungguh-sungguh dan kadangkala ada riak sayu pada wajahnya masa itu.
Hari ini, setelah lebih 19 tahun, iya, saya percaya kata-kata Ustaz tersebut.
Setelah 19 Tahun
Kini setelah 19 tahun, banyak perkara telah berlaku yang kadangkala saya tidak sedar betapa cepatnya masa berlalu..
1999
Saya berumur 25 tahun semasa mendapat anak pertama Hariz (satu-satunya anak lelaki 🙂 ) Masa itu saya sudah terfikir, ketika saya berumur 40 tahun nanti, Hariz sudah berumur 16 tahun. Pada masa itu, saya rasa sangat lama untuk umur saya mencecah 40 tahun. Tetapi… tahun 2022 ini, Hariz sudahpun berusia 23 tahun 🙂 dan telahpun tamat pengajian Ijazahnya. Argghhhh.. cepat betul masa berlalu.
2001
Ketika Hariz baru berusia setahun lebih, suami saya ada beli insurans pelajaran dengan Syarikat Takaful Malaysia Berhad. Masa itu bayaran premium hanya RM50 dan insurans tersebut akan matang apabila Hariz berusia 18 tahun. Masa itu saya rasa Ya Allah lama nya lagi hendak matang insurans tu. Saya congak umur saya 43, jika Hariz berumur 18 tahun.
Tup-tup, tahun 2017 semasa Hariz mula melanjutkan pengajian di UiTM, insuran tersebut telah matang dan boleh digunakan untuk membayar sebahagian besar yuran Diploma Hariz. Adik Hariz iaitu Nurin pun telah matang insurans pendidikannya dengan Takaful Nasional Berhad pada tahun 2020 lepas :). CEPATNYA MASA BERLALU KANNN…
Sekarang adik-adik mereka belum matang insurans pendidikan di bawah ETIQA BERHAD.
2003
Sewaktu awal 2000, agak banyak kelab keahlian ditubuhkan di Malaysia melibatkan Kelab Keahlian Untuk Melancong di mana jika kita melanggan keahlian tersebut, kita boleh menikmati diskaun yang banyak di hotel-hotel terpilih di seluruh Malaysia.
Cara mereka menarik perhatian kita untuk mendengar taklimat mengenai keahlian tersebut adalah dengan menawarkan pakej bermalam di hotel 1 malam dengan syarat kita mesti mendengar dahulu taklimat oleh agensi yang menawarkan. Saya dan suami ada menerima 2 pakej percuma tetapi kami tidak melanggan keahlian yang dipromosikan.. haha. Saya ingat lagi saya dan suami mesti buat perjanjian bahawa kami TIDAK AKAN TERPENGARUH dengan tawaran keahlian yang dibuat. Sebaliknya kami hadir semata-mata untuk merebut peluang bermalam di hotel secara percuma 🙂
Walau bagaimanapun ada 1 pakej keahlian yang agak unik di mana keahlian selama 20 tahun untuk menjalani pemeriksaan kesihatan eksklusif di sebuah Hotel bertaraf 6 bintang.
Kelab ini menawarkan keahlian untuk membuat pemeriksaan kesihatan secara eksklusif di Hotel tersebut di mana saya cuma perlu membayar keahlian RM600 untuk mendapat full medical check up sekali setiap tahun selama 20 tahun. Layanan diberikan semasa pemeriksaan adalah layanan VVIP. Dan yang paling saya suka ialah makanan yang diberikan sebaik sahaja kami selesai pengambilan darah dan ultrasound iaitu sebelum keputusan dikeluarkan makmal. Walaupun makanan diberikan adalah makanan ‘sihat’, tetapi sungguh lazat 🙂 Selepas keputusan makmal dan ultrasound dikeluarkan, kami akan berjumpa dengan doktor yang ditugaskan untuk memberi penerangan bagi setiap keputusan makmal dan ultrasound tersebut. Lepas berjumpa doktor, kami akan diberi voucher untuk makan tengahari di hotel tersebut. Bayangkan lunch di hotel 6 bintang. Fuhhh…
Masa itu saya rasa, lama betul untuk cukupkan 20 tahun, entah sempat atau tidak tempoh keahlian saya matang. Tetapi…. lagi 3 bulan, sahaja sudah cukup tempoh 20 tahun tersebut. Hehe…
Walau bagaimanapun, tahun 2014 saya telah tamatkan keahlian saya lebih awal memandangkan saya telah menjadi pelanggan tetap PPUM setiap tahun untuk menjalani pemeriksaan kesihatan.
Dua tahun selepas saya menjadi ahli Kelab iaitu semasa kali kedua saya menjalani pemeriksaan kesihatan di situ, doktor yang membuat ultrasound telah mengesan ketumbuhan. Selepas mendapat nasihat, maka saya telah pergi membuat pemeriksaan terperinci di PPUM. To cut long story short, sejak tahun itu iaitu tahun 2005, saya pasti membuat pemeriksaan di PPUM sekurang-kurangnya sekali setahun sehingga lah sekarang iaitu 17 tahun. Tengok… cepat betul masa berlalu kan..
2015
Masa tahun ini saya tak pasti apa yang menyebabkan saya rasa seperti hendak bersara awal dari pekerjaan saya. Pada tahun ini saya telah bertugas selama 17 tahun dan saya merancang untuk bersara dalam tempoh 10 tahun. Saya juga telah membuat perancangan apa yang saya hendak buat jika saya bersara awal..hehe. Nampaknya saya ada 3 tahun lagi jika saya masih hendak teruskan hasrat saya tersebut. Cepatnya masa berlalu kan? Rasanya saya nak tambah lagi 2 tahun kot. Maksudnya tahun 2027. InshaAllah… Sekarang saya sedang merancang untuk merealisasikan impian saya untuk bersara sebelum usia mencecah 55 tahun dan hutang-free semasa bersara 🙂 InshaAllah jika diizinkanNya.
2022
Hari ini saya berumur 48 tahun.
Jika umur Rasulullah saw dijadikan kayu pengukur, maka saya ada lagi 15 tahun untuk mencecah umur 63 tahun. Apabila melihat betapa cepat masa berlalu, saya harap ia akan menjadi peringatan kepada diri saya untuk menjadi manusia bertambah baik setiap hari. Kehidupan, kekayaan, kecantikan yang dimiliki di dunia ini sebenarnya tidak berharga di sisi Allah swt. Dan yang paling penting, saya mahu menjadi hambaNya yang diredhai… AAMINNN..