Sebenarnya banyak saya nak kongsikan berkaitan topik Minda Tanpa Sedar ini. Terlalu banyak ilmu yang hendak dikongsi sehingga saya tak tahu nak mula dari mana dahulu.
Saya kena tarik nafas dahulu….
Okay..beginilah…
Pernah tak anda alami di mana anda teringatkan sesuatu atau anda ingin melakukan sesuatu perkara tetapi anda bertangguh untuk melakukannya atau mungkin tidak jadi melakukannya. Tetapi secara tiba-tiba perkara yang anda teringat itu atau perkara yang anda akan lakukan itu terjadi kepada anda. Dan pada masa itu, anda akan berkata “Eh aku baru je terfikir perkara ini, dah ada orang beri jawapan/dah pun terjadi.”
Tahu tak bahawa perkara itu terjadi disebabkan tarikan magnet daripada Minda Tanpa Sedar kita yang telah menyebabkan perkara itu terjadi.
Sebenarnya saya telah lama dengar mengenai Minda Tanpa Sedar ini. Jika anda google “The Power of Subconcious Mind” pun anda boleh dapat banyak penerangan mengenai minda tanpa sedar ini. Tetapi apabila kita hanya membaca teori, kita tidak dapat ilmu yang sebenarnya. Dan kita tidak akan betul-betul faham.
Tetapi, alhamdulillah.
Sewaktu seluruh Malaysia dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan semasa pertengahan Mac 2020 lalu, saya berpeluang mengikuti program Prof Muhaya Circle (PMC) di mana setiap minggu Datuk Prof Dr Muhaya Mohamad (pada saya beliau adalah Malaysian’s Sweetheart 🙂 ) akan berkongsi ilmu mengenai 5 Pentagon kehidupan di mana salah satu pentagon adalah Spiritual.
Setelah tamat mengikuti program PMC selama 2 bulan, barulah saya faham betapa pentingnya Minda Tanpa Sedar ini dalam kehidupan seharian kita di mana ia boleh mengubah hidup kita menjadi sesuatu yang indah dan bahagia…..dengan izin ALLAH SWT.
Teknik Penegasan (Affirmation)
Menurut Prof Muhaya, jika kita inginkan sesuatu, kita mesti melatih Minda Tanpa Sedar kita dengan cara affirmation.
Affirmation adalah di mana kita akan sebut dan bayangkan (visualise) apa yang kita hendak sama ada dalam doa semasa solat atau sebelum tidur iaitu sebelum kita terlelap. Pada masa sejurus sebelum terlelap adalah masa yang paling sesuai untuk kita nyatakan dan bayangkan apa kejayaan yang kita mahu dalam kehidupan kita sama ada jangka masa pendek atau jangkamasa panjang.
Seperti contoh yang Prof Muhaya berikan, jika esoknya kita akan menghadiri mesyuarat di mana kita akan membentangkan kertas cadangan, maka kita mesti bayangkan bagaimana kita berjaya membentangkan kertas kerja tersebut dan mesyuarat itu akan berlangsung dengan jayanya. Sebab itulah kita selalu mendengar bagaimana untuk membentuk anak-anak kecil menjadi baik, soleh dan mendengar kata adalah dengar membaca ayat suci al Quran dan menyebut apa hasrat kita di ubun-ubun anak semasa mereka baru terlelap.
Selain dari itu, Prof Muhaya juga menerangkan bahawa kita mestilah sentiasa menyebut yang baik-baik sahaja seperti : saya sihat, saya bersyukur, saya pemaaf, saya sayang semua orang dan lain-lain lagi. Prof Muhaya juga menekankan bahawa kita jangan sekali-kali menyebut perkataan negatif seperti : letih, stress, sakit, sedih, takut, rasa bersalah kerana ia akan menjadi racun kepada minda dan badan kita.
Kisah Benar – Seperti Diceritakan Kepada Saya
Saya pernah mengikuti kursus motivasi pada Ogos 2019 di mana penceramah tersebut juga telah menceritakan beliau dan sahabat baik beliau telah menggunakan teknik affirmation ini sehingga impian mereka akhirnya menjadi kenyataan.
Kisah 1 – Kereta Mewah
Penceramah ini menceritakan bagaimana beliau sebelum ini mengimpikan untuk membeli sebuah kereta mewah sejak sekian lama. Apa yang beliau buat selain berdoa memohon dimurahkan rezeki adalah beliau sudah membayangkan bahawa beliau telah memiliki kereta tersebut. Beliau telah mengubahsuai anjung kereta (car porch) rumah beliau walaupun beliau masih belum memiliki kereta mewah tersebut.
Setiap hari beliau berdoa dan membayangkan kereta impian beliau ada di anjung kereta. Sehinggalah satu hari beliau telah mendapat rezeki dan akhirnya memang benar, beliau dapat membeli kereta impian tetrsebut dan kereta itu akhirnya berada di anjung kereta beliau yang telah diubahsuai tersebut.
Kisah 2 – Pasangan Hidup
Penceramah ini juga menceritakan bagaimana seorang sahabat beliau sentiasa gagal dalam bercinta. Bagaimana sahabat beliau sentiasa ditipu oleh bebeerapa lelaki yang mengambil kesempatan atas wang ringgit beliau. Sahabat beliau hampir berputus asa untuk mencari teman hidup tambahan pula beliau bukan termasuk dalam kategori cantik atau menarik. Jika tengok dari segi fizikal memang agak susah untuk mencari teman lelaki.
Walau bagaimanapun, sahabat beliau telah membuat affirmation di mana setiap hari sahabat beliau akan membayangkan beliau telah bersuami di mana setiap pagi dia akan sediakan sarapan untuk 2 orang, siapkan makan malam untuk 2 orang dan membayangkan beliau akan berkahwin pada satu hari nanti. Ia berlangsung beberapa ketika sehinggalah satu hari sahabat beliau memaklumkan bahawa beliau telahpun bertunang. Dan alhamdulillah, lelaki tersebut mempunyai ciri-ciri yang sahabat beliau mahukan..
Kini sahabat beliau telahpun mempunyai anak perempuan berumur 4 tahun yang sangat comel di mana anaknya telah mengambil iras yang cantik daripada kedua ibu bapanya iaitu rambut kerinting mengikut ibu, kulit putih dan hidung mancung mengikut bapa dan mata bulat bulu mata lentik mengikut ibunya..
Jadi, seperti saya katakan tadi, affirmation telah menjadi magnet melalui Minda Tanpa Sedar untuk ianya menjadi kenyataan…
Seminar “Powerful Mind” oleh Tuan Addaem Chandran
Pada 14 November yang lepas, saya telah berpeluang mendengar seminar secara atas talian yang disampaikan oleh Tuan Addaem Chandran mengenai Minda Tanpa Sedar ini. Beliau merupakan CEO kepada Prof Muhaya Eye Lasic & Centre (PMELC) serta pengajar bertauliah ilmu Neuro-Linguistic Programme (NLP).
Setelah mendengar seminar beliau inilah yang membuatkan saya bersemangat untuk kongsikan ilmu ini dengan anda semua agar lebih ramai yang tahu ilmu ini dan seterusnya ia akan mengubah kehidupan kita semua.
Menurut Tuan Addaem setiap manusia dibanjiri jutaan bits maklumat per saat di mana minda manusia hanya boleh memproses 100-200 bits maklumat sahaja per saat. Tetapi Minda Sedar (conscious mind) hanya mampu memproses 5-9 bits per saat sahaja.
Daripada keseluruhan kebolehan minda kita, Minda Sedar hanya memproses 10% maklumat sedangkan Minda Tanpa Sedar memproses 90% !! Ini bermakna Minda Tanpa Sedar lebih berkemampuan berbanding Minda Sedar.
Siapa Diri Kita Sekarang Adalah Hasil Daripada Apa Yang Kita Lalui Semasa Umur Bawah 7 Tahun Dahulu
IYAA … anda mesti terkejutkan? Itulah yang diberitahu oleh Tuan Addaem bahawa siapa kita sekarang adalah hasil 7 tahun pertama kehidupan kita dahulu. Sekiranya kita dibesarkan dalam suasana negatif, maka apabila kita berumur 30, 40 dan mungkin 50 tahun, akan memberikan impak dan fikiran yang negatif dalam kehidupan kita.
Itulah sebabnya kita perlu merasa kasihan melihat mereka yang negatif/kasar kerana ia adalah lahir daripada cara dia dibesarkan.
Patutlah selalu saya mendengar Prof Muhaya menyatakan kasihan kepada mereka yang selalu berfikiran negatif, berperangai buruk dan mereka yang mempunyai perasaan rendah diri (inferiority complex) kerana kemungkinan semasa kecil selalu dimarahi, didera, dibanding-bandingkan atau mungkin tiada kasih sayang yang diterima.
Apakah Minda Tanpa Sedar (MTS)?
Menurut Tuan Addaem, MTS adalah minda kreatif yang menjadi “pusat takungan” yang menyimpan segala perasaan, kepercayaan, serta pemikiran negatif dan positif. MTS tidak dapat membezakan perkara negatif atau positif. Itulah sebabnya kita tidak dibenarkan menyebut perkataan negatif seperti stress, sakit, malas kerana MTS akan menyimpan segala nya. Sebaliknya kita perlu sebut perkataan “belum sihat, akan kurus, belum kaya” untuk memastikan MTS hanya menerima perkataan yang positif sahaja.
Dalam minda kita ada sistem tapisan setiap maklumat diterima di mana, sistem tapisan itu akan memproses ia menjadi emosi dan seterusnya membentuk tindakan sama ada positif atau negatif. Sekiranya dalam pusat takungan kita penuh dengan perkataan negatif, ia akan menghasilkan tindakan dan pemikiran negatif di mana ia secara tidak langsung akan mempengaruhi kehidupan dan kesihatan kita.
Salah satu sifat MTS adalah ia memerlukan dorongan dan penegasan untuk membolehkan ia bertindak. MTS suka diberikan maklumat dan arahan yang jelas. MTS juga menghasilkan “tenaga”, menyimpan dan menghantar tenaga tersebut ke seluruh badan kita. Salah satu cara untuk memberi penegasan (affirmation) kepada MTS adalah dengan cara menggambarkan (visualise) iaitu tuliskan misi dan gambar apa yang ingin dicapai dan letakkan di tempat yang boleh dilihat.
OK bahagian ini agak menyeramkan sedikit ye sebab ia memang benar dan telah berlaku kepada diri saya sebelum saya tahu ilmu mengenai MTS lagi.
Pengalaman ‘Minda Tanpa Sedar’ Saya Sendiri
Pada tahun 2010 dahulu, saya pernah menulis cita-cita atau impian apa yang saya hendak capai dalam tempoh 10 tahun iaitu :
- Beli rumah lain yang lebih besar
- Pergi umrah
- Pergi melancong ke luar negara
- Tunaikan Rukun Islam ke 5
Saya telah tulis besar-besar dan lekatkan gambar yang berkaitan dengan impian saya itu (saya ambil dari internet) untuk dijadikan poster dan saya lekatkan ‘poster’ tersebut di dinding bilik saya supaya saya boleh melihatnya setiap hari. Saya tidak tahu pada masa itu bahawa inilah teknik “Affirmation” dan saya telah menggunakannya tanpa saya sedari 🙂
Dan tahu kah anda? Saya telah dapat kesemua impian saya tersebut tidak sampai 10 tahun ?
- Saya dapat rezeki untuk beli rumah berkembar pada 2011
- Saya menunaikan umrah kali pertama bersama suami pada 2012
- Saya, suami dan anak bongsu dapat menjelajah Turki pada 2016. Ini merupakan percutian terindah setakat ini dalam hidup saya di mana kami telah pergi ke Cappadocia, Amasya (tempat Sultan Al Fateh dibesarkan), Ankara (melawat Makam Kamal Attartuk), Bursa dan Istanbul.
- Saya dan suami dapat menunaikan haji pada tahun 2018. Jika ikut giliran Tabung Haji sepatutnya kami pergi tahun 2031. Selain teknik visualise, saya telah gunakan teknik bercakap iaitu dengan cara berdoa setiap hari selama sebulan dan akhirnya saya dapat mengerjakan haji pada tahun itu. (Nanti saya akan ceritakan dengan lebih terperinci untuk topik ibadat haji saya dan suami).
MENGEJUTKAN BUKAN??
Alhamdulilahhhh, saya panjatkan penuh kesyukuran kepada Allah SWT.
Oleh itu, nasihat saya, anda jangan sekali-kali pandang remeh terhadap keupayaan Minda Tanpa Sedar (MTS) atau Minda Kreatif kita. Ia adalah anugerah yang penuh keajaiban dikurniakan oleh ALLAH SWT khas kepada makhlukNya iaitu manusia.