Sila periksa slip gaji anda sekarang dan lihat sama ada terdapat potongan SIP PERKESO atau EIS SOCSO. Ia penting jika anda adalah salah seorang dari penyumbang kepada statistik di bawah.
81,056 Penduduk Malaysia Hilang Pekerjaan Sejak Januari
Sinar Harian bertarikh 20 September 2020 melaporkan seramai 81,056 penduduk di Malaysia hilang pekerjaan dari tempoh Januari hingga 17 September lalu. 25 peratus dari jumlah itu adalah dari golongan profesional.
Menurut Menteri Sumber Manusia, Datuk M Saravanan, berdasarkan statistik Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) berlaku peningkatan sebanyak 104 peratus penduduk di negara ini yang hilang pekerjaan antara bulan Mac dan Mei tahun ini.
Kadar pengangguran negara melonjak kepada 5.3 peratus pada Mei lalu yang melibatkan seramai 826,100 penganggur.
Statistik SIP menunjukkan majoriti yang hilang pekerjaan adalah kumpulan yang berumur 25 tahun hingga 34 tahun iaitu sebanyak 36.6 peratus.
Tiga industri dengan bilangan kehilangan pekerjaan tertinggi ialah sektor pembuatan, penginapan dan makanan dan minuman (F&B) serta sektor borong dan runcit.
Kadar pengangguran negara bakal mencecah 4.5 peratus menjelang akhir tahun ini.
Ini bukan angka yang sedikit.
Seperti kita semua maklum, keadaan ekonomi Malaysia dan dunia terjejas teruk disebabkan pandemik Covid-19. Hanya sektor kerajaan sahaja yang boleh dikatakan selamat buat masa ini. Mereka dari sektor swasta atau yang bekerja sendiri sememangnya terjejas teruk.
Jika anda salah seorang yang diberhentikan kerja semasa PKP ni, atau anda terpaksa mengambil tawaran skim VSS/MSS disebabkan majikan perlu mengecilkan operasi untuk terus bersaing, dan terdapat potongan SIP PERKESO atau EIS SOCSO pada slip gaji anda – masih ada sinar disebalik kegelapan yang melanda.
Apa Itu Sistem Insurans Pekerja (SIP) / Employee Insurance System (EIS)?
SIP ialah satu sistem insurans pekerja yang telah diperkenalkan oleh kerajaan pada tahun 2018 bertujuan untuk membantu pekerja swasta yang hilang kerja dengan pemberian Elaun Mencari Pekerjaan (EMP) selama 6 bulan.
Siapa Yang Layak Memohon SIP PERKESO Ini?
- Warganegara Malaysia/ pemastautin tetap/ penduduk sementara.
- Berumur 18 – 60 tahun.
- Bekerja dalam sektor swasta dan mencarum kepada SIP PERKESO/EIS SOCSO.
- Berkhidmat berasaskan kontrak perkhidmatan (contract of service).
Disebabkan SIP PERKESO ini adalah insurans, dan jika majikan anda tidak mencarum untuk SIP, maka anda tidak layak. Jika anda layak dengan syarat minimun seperti di atas, maka anda layak untuk menerima faedah SIP sekiranya:
- Memohon dalam tempoh 60 hari dari tarikh kehilangan pekerjaan.
- Memenuhi syarat kelayakan caruman. Menurut sahabat saya yang telah memohon, PERKESO memerlukan 6 bulan salinan penyata gaji yang menunjukkan potongan SIP PERKESO/EIS SOCSO.
- Tidak bekerja mengikut definisi kehilangan pekerjaan di bawah Akta SIP

Kehilangan pekerjaan berlaku sekiranya kontrak perkhidmatan anda telah ditamatkan atau menjadi tidak sah. Ini termasuk:
- Pemberhentian kerja biasa
- VSS/MSS (skim pemisahan sukarela/persefahaman bersama)
- Penutupan tempat kerja kerana bencana alam (force majeure)
- Bankrap atau penutupan perniagaan
- Pembuangan kerja secara konstruktif
- Peletakan jawatan disebabkan gangguan seksual atau ugutan di tempat kerja
- Perletakan jawatan apabila diarah melaksanakan kerja di luar skop yang membahayakan keselamatan
Anda tidak layak sekiranya:
- Pembuangan akibat salah laku pekerja
- Peletakan jawatan secara sukarela
- Persaraan
- Tamat tempoh kontrak perkhidmatan (termasuk tanpa terma atau penyiapan kerja)
Faedah SIP PERKESO/EIS SOCSO
Apa yang akan anda dapat?
Sekiranya anda layak, anda akan menerima bayaran seperti jadual di bawah:
Bulan | Kadar Bayaran (% daripada Gaji Anggapan Bulanan) |
---|---|
Pertama | 80 |
Kedua | 50 |
Ketiga | 40 |
Keempat | 40 |
Kelima | 30 |
Keenam | 30 |
Nampak macam banyak. Ya lah, kalau gaji 10K, dah dapat 8K pada bulan pertama.
Banyak tu, kan?
Tetapi, sebenarnya, kadar bayaran yang diberikan bukan berdasarkan gaji anda tetapi gaji purata yang ditetapkan oleh SIP PERKESO. Jika gaji anda melebihi RM4,000.00, maka pengiraan adalah berdasarkan kepada gaji anggapan bulanan sebanyak RM3,950.00.
Jika gaji anda melebihi purata gaji yang ditetapkan oleh Perkeso, ini yang akan anda dapat setiap bulan selama 6 bulan jika anda masih tidak mendapat pekerjaan.
Bulan | Jumlah Bayaran Jika Gaji Melebihi Purata Perkeso (RM) |
---|---|
Pertama | 3,160 |
Kedua | 1,975 |
Ketiga | 1,580 |
Keempat | 1,580 |
Kelima | 1,185 |
Keenam | 1,185 |
Jika gaji anda lebih rendah dari RM 3,950.00, anda akan dapat kurang lagi dari jadual di atas. Sila rujuk Kalkulator Faedah SIP PERKESO untuk pengiraan terkini disini.
Cara Memohon Faedah Sistem Insurans Pekerja (SIP) / Employee Insurance System (EIS)
Permohonan SIP boleh dilakukan secara manual di pejabat PERKESO berhampiran atau secara dalam talian.
Jika melakukan permohonan dalam talian, sila ke link yang diberikan di atas, masukkan nombor kad pengenalan, dan mulakan pendaftaran.
Sebelum memohon secara dalam talian, sediakan dokumen-dokumen ini yang telah siap scan ke PDF. Lebih senang kalau semua dah tersedia sebelum permohonan dibuat. Sama je kalau memohon di pejabat PERKESO, sediakan salinan lebih awal.
Dokumen-dokumen yang diperlukan untuk memohon faedah SIP ialah:
(a) Salinan kad pengenalan, depan dan belakang dalam satu dokumen.
(b) Salinan surat pemberhentian kerja (termasuk VSS, MSS atau seumpamanya) dalam satu dokumen.
(c) Salinan penyata gaji (6 bulan kebelakang sebelum bulan kehilangan pekerjaan). Scan dan kumpulkan semua slip-slip gaji ini ke dalam satu dokumen.
(d) Salinan akaun atau penyata bank. Sila pastikan nama bank, nama anda dan nombor akaun adalah jelas. Baki dan transaksi dalam penyata tidak perlu disertakan.
Dokumen sokongan:
(e) Salinan laporan polis (contoh gangguan seksual, ugutan dan sebagainya).
(f) Salinan bukti arahan yang diberikan bagi kerja-kerja berbahaya bukan dalam skop kerja mengikut kontrak.
(g) Lain-lain: sila nyatakan (dokumen berkaitan dengan kes).
Banyak maklumat yang perlu diisi dalam borang permohonan. Selepas selesai menghantar permohonan, anda akan menerima email dari PERKESO ke pautan-pautan berkaitan yang perlu anda isi lagi. Anda akan dihubungi oleh Pegawai Perkeso dan beliau akan menerangkan lagi apa yang perlu dilakukan sebelum pemohonan diluluskan.
Anda perlu juga mengisi maklumat di MYFutureJobs iaitu portal pekerjaan yang dibangunkan oleh SIP. Maklumat perkerjaan, maklumat pendidikan, macam-macam yang perlu diisi. Resume juga perlu diupload.
Walau bagaimanapun, proses di pihak PERKESO dan kelulusan memang cepat. Menurut sahabat saya yang telah memohon, beliau membuat permohonan pada 7 Oktober dan telah mendapat bayaran bulan pertama pada 20 Oktober. Semuanya selesai kurang dari dua minggu.

Untuk maklumat lanjut yang lebih terperinci dan terkini, sila rujuk portal SIP PERKESO.