Gaisss…. jika selama ini anda ambil mudah Norma Baharu @ SOP yang ditetapkan oleh Majilis Keselamatan Nasional (MKN) atau Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), saya harap anda fikir semula.
Sebelum ini saya juga begitu. Suka ambil mudah terutamanya di tempat kerja kerana saya merasakan tempat kerja saya adalah tempat yang selamat sama seperti di rumah.
Pada masa awal boleh pergi ke pejabat selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) iaitu pada 4 Mei 2020, memang kami di pejabat patuh kepada SOP iaitu pakai pelitup muka, periksa suhu badan dan guna hand sanitizer sebelum masuk pejabat serta penjarakan sosial semasa menggunakan lif.
Pada masa itu, perkara pertama yang saya buat apabila sampai di ruang kerja, saya akan guna hand sanitizer semula atau saya akan pergi ke tandas untuk membasuh tangan dengan sabun selepas membuka pelitup muka. Jika ada mesyuarat pada masa itu, kami akan pastikan SOP dipatuhi di mana kerusi diletakkan tanda ‘X’ setiap selang satu. Dan kami juga sentiasa memakai pelitup muka semasa mesyuarat. Kami ikut Norma Baharu @ SOP yang ditetapkan.
Akan tetapi, lama kelamaan kami mula lupa … Norma Baharu Ke Laut
Apabila 2 buah lif di pejabat berada dalam tempoh penyenggaraan yang panjang, kami mula lupa dan mula bersesak-sesak dalam lif kerana mengejar waktu punch clock. Tambahan pula apabila tinggal seminit dua sahaja lagi sebelum waktu bekerja bermula. Apabila Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) mula diumumkan mulai 10 Jun 2020, kami semakin lupa sehinggalah kerajaan umumkan kewajipan memakai pelitup muka mulai 1 Ogos 2020.
Pada masa ini, penjarakkan sosial semasa mesyuarat sudah semakin berkurangan, tetapi disebabkan kewajipan memakai pelitup muka, kami masih lagi berjaga-jaga. Setiap kali saya dan rakan-rakan sekerja ingin pergi mesyuarat atau pergi ke tingkat lain, kami akan memakai pelitup muka. Walau bagaimanapun, jika kami berada di ruang kerja atau semasa makan, kami tidak akan memakai pelitup muka. Penjarakkan masih ada tetapi kadang-kadang terlupa juga.
Dalam tempoh September hingga awal Oktober 2020, saya ada menghadiri beberapa majlis jamuan perpisahan anjuran pejabat dan juga 2 majis perkahwinan anak saudara sepupu.
Pada majlis ini, memang SOP diikuti oleh pihak penganjur iaitu scan MySejahtera, periksa suhu dan guna hand sanitizer, tetapi bila tiba masa mengambil gambar, semua orang ‘hilang ingatan’. Tiada penjarakkan sosial dan pelitup muka pun ditanggalkan.
Kali terakhir majlis keramaian yang saya hadiri adalah pada 10.10.2020. Pada tempoh tersebut, negara sedang menghadapi gelombang ke3 pandemik ini dan pada 14 Oktober 2020, kerajaan telahpun mengumumkan PKP Bersyarat (PKPB) semula bagi beberapa negeri zon merah termasuklah Selangor. Semua majlis keramaian tidak dibenarkan.
Virus tidak mengenal sesiapa..
Mulai 14 Oktober 2020, saya dan rakan sekerja mula patuh akan SOP. Akan tetapi, saya dan rakan sekerja kadang-kadang terlupa untuk memakai pelitup muka semasa berbual walaupun ada penjarakkan sosial sekurang-kurangnya 1 meter kerana mungkin kami menyangka kami berada di kawasan risiko rendah.
Antara ramai, ada seorang rakan saya yang sentiasa patuh akan SOP. Beliau tidak pernah lupa untuk memakai pelitup muka, tidak seperti saya yang selalu terlupa jika berbual dengan rakan-rakan pejabat. Beliau juga sentiasa menjaga jarak 1 meter walaupun memakai pelitup muka.
Pada minggu 19 Oktober 2020, saya kerap berjumpa, berbual dan bermesyuarat bersama-sama beliau. Pada 22hb, pejabat saya membuat ujian calitan (swab) bagi mereka yang tinggal di zon merah atas arahan MKN. Saya tidak terlibat kerana saya tinggal di zon kuning. Saya masih ingat pada 22hb saya berbual dengan dengan rakan saya tersebut di mana seperti biasa, hanya dia memakai pelitup muka dan saya tidak. Sebelum kami pulang ke rumah, beliau sempat mengucapkan Happy Long Weekend kepada saya sambil melambai-lambai memandangkan saya akan bercuti 2 hari sebelum dan selepas hujung minggu tersebut.
Tiba-tiba pada hujung minggu tersebut saya telah dikejutkan dengan berita bahawa rakan saya itu disahkan POSITIF!
Saya terdiam seketika dan berdebar. Saya mula memikirkan suami, anak-anak dan yang paling penting saya terfikir yang saya baru sahaja mengunjungi 2 buah hospital pada minggu sebelumnya. Pada hujung minggu itu juga saya telah mengunjungi kedai makan favourite saya! Hanya ALLAH swt mengetahui bagaimana perasaan saya pada waktu itu. Saya terus memakai pelitup muka di dalam rumah, kerap membasuh tangan dan mula mengasingkan diri dari keluarga.
Dua hari selepas itu saya telah mengambil ujian swab di sebuah hospital swasta di Shah Alam.
Sementara menunggu keputusan, saya tidak lena malam dan kerap terjaga. Fikiran saya juga memikirkan bermacam-macam kemungkinan. Bila ia mula luar kawalan saya cepat-cepat beristighfar dan fokus kepada yang positif. Setiap hari saya buat pemeriksaan simptom.
Setelah hampir 48 jam, barulah saya menerima keputusan ujian saya. Negatif! ALHAMDULILAH.. Begitu juga beberapa orang rakan pejabat lain di tingkat yang sama juga didapati negatif.
Beliau telah dibenarkan keluar dari hospital selepas seminggu dirawat. Sementara saya pula masih di dalam tempoh kuarantin 14 hari sementara menunggu ujian RTK (ujian kedua selepas ujian pertama negatif) pada esok hari memandangkan saya termasuk di dalam senarai Kontak Rapat rakan saya tersebut.
Pengajaran Dari Catatan Norma Baharu Ini
Apa yang saya hendak tekankan di sini adalah betapa pentingnya Norma Baharu yang dikuatkuasakan oleh kerajaan untuk kita patuhi. Jika tiada perkara penting, duduk sahaja di rumah. Biarkan suami atau lelaki dewasa untuk membeli barangan keperluan. Kalau boleh janganlah makan di kedai.
Kita tidak tahu dengan siapa kita akan berjumpa. Dan kita tidak boleh ambil mudah kerana saya telahpun melalui pengalaman ini. Bayangkan jika rakan pejabat saya tidak memakai pelitup muka dan tidak menjaga jarak?
NA’UZUBILLAH…
Kita mesti memakai pelitup muka, hand sanitizer, jaga jarak sekurang-kurangnya 1 meter dan kerap membasuh tangan seperti rakan saya tersebut. Ia norma baharu yang perlu diikuti.
Inshaa Allah kita akan berjaya membendung wabak ini dari tersebar (dengan izin ALLAH swt).