14 Filem Dan Drama Yang Memberi Kesan Dalam Hidup Saya

OK. To be honest, saya seorang peminat tegar filem dan drama, dan juga drama bersiri. Tak kisahlah cerita Melayu, Hollywood, Bollywood atau Korea, semua saya layan. Sebagai seorang yang dilahirkan awal 1970an, saya rasa bertuah kerana berpengalaman merasai pelbagai jenis media elektronik sejak pertengahan 1980an (masa ni je yang paling awal yang saya boleh ingat) sehingga tahun 2020.

Saya ingat lagi semasa tahun 1985 – 1986 semasa masih di sekolah rendah, setiap hari Jumaat pukul 8.30 malam iaitu selepas saya pulang dari pasar malam beli keropok lekor dan selepas tamat berita nasional di RTM1, saya akan berebut dengan 2 orang abang saya untuk tengok filem P.Ramlee di TV1 sedangkan abang-abang saya hendak menonton siri drama penyiasatan Cagney & Lacey di TV2 (pada masa tu TV3 belum luas liputannya).

Selalunya saya akan kalah dan jadi cembeng.

Tetapi… bila arwah abah saya sampai sahaja di rumah selepas solat Isyak di surau, saya akan pujuk abah untuk tukar saluran kepada TV1. Dan selalunya arwah abah akan menangkan saya..HAHA. Dan abang-abang saya pun akan beredar ke bilik dengan muka tidak puashati. Saya pun tontonlah cerita P.Ramlee itu berseorangan sampai habis ataupun sampai tertidur di kerusi rotan di ruang tamu itu. Begitulah sehingga saya tamat sekolah rendah..

Memandangkan saya bersekolah asrama penuh semasa di sekolah menengah, maka setiap kali cuti sekolah adalah masa untuk saya qadha tidur dan qadha menonton TV. Pada pertengahan 1980an sehingga hujung tahun 1999, videotape menjadi pilihan popular. Saya dan abang-abang akan pergi ke kedai sewa video di pekan dan akan menyewa filem dan drama pilihan dengan kadar sewa tidak lebih RM5 untuk seminggu.

Video Transfer Service in Eureka, CA | VHS | Hi-8 | MiniDV | Betamax –  Shenandoah Video
Inilah rupa videotape ye anak-anak.

Pada awal 2000 barulah teknologi berubah dari videotape kepada compact disk (CD) sebelum beralih kepada digital versatile disk (DVD). CD tidak boleh menyimpan data sebanyak DVD. Saya ingat lagi kali pertama saya beli CD adalah cerita Korea yang menjadi fenomena tahun 2002 dahulu iaitu “Winter Sonata”. Bayangkan untuk semua episod untuk siri Winter Sonata tersebut adalah 20 buah CD ! Kualiti gambar sudah tentulah menang kepada DVD.

Berbalik kepada kisah cerita-cerita filem dan drama saya, tidak dapat dinafikan, filem arahan Allahyarham Tan Sri P.Ramlee adalah filem kekal di ingatan sepanjang zaman memandangkan saya telah menonton hampir kesemua filem P.Ramlee setiap minggu. Tetapi terdapat juga cerita-cerita yang meninggalkan kesan mendalam atau boleh dikatakan evergreen juga (pada saya lah) sehingga lah sekarang.

10 Filem Dan Drama Yang Memberi Kesan Dalam Hidup Saya

Saya rasa ramai di antara anda tidak pernah pun mendengar kebanyakan filem dan drama yang saya senaraikan di bawah. Kalau ada, berkemungkinan besar kita adalah hampir sebaya.

Tetapi percayalah, selepas saya menonton semua filem dan drama itu, saya memang sentiasa teringat-ingat untuk beberapa ketika juga.

Okaylah, saya akan beri sinopsis cerita-cerita tersebut. Pendek ya, bukan ulasan filem penuh …

OSHIN (1986)

Wajah Oshin dalam 3 generasi

Oshin adalah sebuah drama bersiri JEPUN yang mengisahkan perjalanan hidup seorang kanak-kanak bernama Oshin daripada seorang yang hidup penuh kemiskinan dan kepayahan sehingga menjadi seorang wanita yang kaya dan berjaya. Cerita ini sebenarnya flashback di mana Oshin di masa tua menceritakan semula kisah hidup beliau kepada cucu beliau (kalau tidak silap saya). Cerita ini banyak memberi pengajaran agar kita sentiasa berusaha dan berfikiran positif untuk berjaya di dalam hidup.

Saya ingat lagi cerita Oshin ini memang sangat popular pada masa itu. Setiap petang semua orang tertunggu-tunggu setiap episod. Saya pernah menangis sebab ibu saya terlupa hendak kejutkan saya yang tertidur dan akhirnya saya terlepas menonton episod OSHIN pada petang itu..HAHA

MATLOCK (1989)

Matlock adalah seorang peguam dan dia akan mewakili defenden yang tidak bersalah yang dituduh membunuh. Apa yang menariknya adalah setiap episod kita akan tahu siapa sebenarnya pembunuh di mana clue nya adalah orang yang terakhir yang Matlock soal di dalam mahkamah. Jadi setiap kali menonton episod tersebut kita akan melihat bagaimana Matlock menyiasat kes tersebut sehingga akhirnya dapat menagkap pembunuh sebenar.

Yang menariknya, guessing saya selalu salah 😛 Selalunya selepas commercial break terakhir baru lah Matlock akan menyoal pembunuh sebenar di dalam mahkamah dan pada masa itu kita akan tertanya-tanya bagaimana Matlock boleh tahu dan dari situ lah kita akan dibawa oleh Matlock kepada flashback pada masa pembunuhan berlaku. Menarik kan??

GHOST (1990)

Filem Ghost
Patrick Swayze dan Demi Moore

OK cerita ini saya tengok semasa di asrama sewaktu tingkatan 4 (tahun 1990). Masa itu hari cuti dan kami tidak pulang bermalam di rumah. Jadi salah seorang senior saya ada menyewa videotape GHOST ini dan kami menonton beramai-ramai di bilik TV. Filem ni kategori romantik tetapi sedih kerana si hero mati pada awal cerita dan rohnya berkeliaran di rumah tanpa disedari sang isteri. Hanya seorang perempuan penilik nasib berkulit gelap (Whoopi Goldberg) boleh melihat roh lelaki tersebut dan akhirnya membongkar siapa pembunuh beliau sebenar. Selepas filem inilah Whoopi mula jadi terkenal di Hollywood.

Inilah rupa Demi Moore semasa menangis tu. Cantik kan?

Yang kelakarnya ada satu adegan semasa Demi Moore tahu bahawa roh si suami masih ada bersamanya itu membuat kami semua menangis. Dan kami akan mengulang-ulang adegan tersebut banyak kali 🙂 Dan setiap kali adegan diulang, ada seorang sahabat saya pasti akan menangis dan lagi dan lagi sehingga kami semua ketawa melihat beliau (saya dan lain-lain menangis sekali sahaja 😛 Selepas menonton adegan tu semua orang nak menangis cantik macam DEMI MOORE !!

HERCULE POIROT (1993)

Hercule Poirot versi siri 1990an

Masa saya mula menonton siri Hercule Poirot, saya tidak tahu dia adalah watak ciptaan Agatha Christie. Tetapi saya memang suka menonton siri Hercule Poirot ini. Setiap episod sangat menakjubkan dan membuatkan kita sentiasa mencuba untuk menyelesaikan jigsaw puzzle siapakah pembunuh sebenar . Ia adalah kisah penyiasatan, sama seperti Matlock. Cuma bezanya Hercule Poirot memang penyiasat terkenal dan bukannya peguam.

THE SHAWSHANK REDEMPTION (1994)

Shawshank Redemption antara yang paling best dalam senarai filem dan drama ini

Cerita ni fuhhh memang best sangat. Kita langsung tidak mendapat clue apa yang akan terjadi pada klimaks cerita ini iaitu lebih kurang 30 minit sebelum cerita tamat. Pada masa kali pertama menontonnya saya terlopong sebab tidak menjangka.

Filem ini mengisahkan seorang akauntan yang telah dituduh membunuh isterinya di mana pada masa kejadian tersebut dia tidak sedar kerana beliau sedang mabuk. Apabila ditahan, bukti semua menunjukkan beliau yang membunuh isterinya dan beliau dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup.

Di sini lah cerita bermula semasa beliau dalam penjara di mana beliau telah dibuli, dipukul dan dil*w*t. Beliau telah berkawan baik dengan seorang lelaki berkulit hitam semasa dalam penjara tersebut di mana sahabat beliau juga telah 10 tahun berada di dalam penjara sebelum beliau. Dalam filem ini juga ditunjukkan juga bagaimana Ketua Penjara dan warden di penjara tersebut terlibat dengan skandal rasuah dan bagaimana beliau telah dipergunakan oleh Ketua Penjara tersebut untuk menyembunyikan skandal rasuah tersebut memandangkan beliau seorang bekas akauntan.

Kisah beliau dalam penjara berlaku pada hari pertama sehinggalah 19 tahun di mana akhirnya beliau berjaya melarikan diri tanpa disedari oleh sesiapa pun termasuklah sahabat beliau sendiri.

Di sini lah menariknya cerita ini di mana ditunjukkan flashback bagaimana perancangan beliau untuk melarikan diri telah dibuat begitu lama dengan penuh teliti dan rapi.

HEAT (1995)

Sekiranya dalam sebuah filem ada pelakon hebat kelas A seperti Robert De Niro, Al Pacino dan Val Kilmer, tentulah tidak dapat dinafikan filem tersebut akan penuh dengan aksi dan sudah tentu best kan?

Cerita ini mengisahkan sekumpulan perompak bank profesional yang diketuai oleh Robert De Niro di mana modus operandi adalah merompak bank tanpa menumpahkan darah. Semasa setiap rompakan ketua si perompak (Robert De Niro) akan nasihatkan pelanggan-pelanggan bank pada masa itu agar jangan melawan dan memberitahu mereka hanya hendak merompak bank di mana setiap bank ada insurans yang akan menyelamatkan bank. Dan sudah semestinya pegawai polis yang memburu mereka adalah Al Pacino…hehe

Seperti biasa, bak perpatah.. dalam setandan pisang pasti ada yang rosak. Begitulah juga dengan kumpulan perompak ini di mana salah seorang ahli kumpulan telah menembak mati seorang pelanggan bank hanya disebabkan mangsa merenung muka beliau (walaupun mereka bertopeng).

Kejadian tersebut telah membuat Robert De Niro marah kerana ia bukanlah cara kerja mereka dan telah membelasah teruk ahli kumpulan yang ingkar tersebut. Di sini lah mula nya konflik apabila ahli yang ingkar tersebut telah berpaling tadah dan membantu polis untuk menangkap mereka.. Mula dari adegan ini lah menarik dan meninggalkan kesan.

Adegan di mana polis menggunakan isteri Val Kilmer untuk memerangkap beliau dan isteri beliau memberi isyarat bahawa polis sedang menunggu di dalam rumah dan adegan di mana Robert De Niro membalas dendam terhadap ahli yang berpaling tadah tersebut.

RIBUAN MIMPI-MIMPI (Telefilem) – 1996

Datuk Jalaludin Hassan

AHA… daripada semua cerita bukan Melayu, satu-satunya cerita Melayu yang akan saya ulas adalah cerita Ribuan Mimpi-Mimpi yang disiarkan dalam slot Cerekarama TV3 pada tahun 1995 – 1997 (saya tidak ingat). Pelakon utama Jalaluddin Hassan dan Aida Rahim @ Aida Khalida.

Kenapa cerita ini menarik hati saya?

Selain daripada jalan ceritanya menarik dan memberi pengajaran, watak Aida Rahim sebagai isteri adalah LIN dan Jalaludin Hassan pula pada masa itu serupa pula rupa dan gaya dengan ex boyfriend saya pada masa tu (ex sbb dah jadi suami..HAHAHA). Bukan saya yang cakap, tapi ramai kawan-kawan yang cakap. Jadi, perasan lah sekejap bila Jalaludin Hassan memanggil LIN..LIN dalam cerita itu 🙂

OPPS.. berbalik kepada sinopsis nya..

Cerita ini berkisar sepasang suami isteri yang bahagia dan sudah berkahwin lama tetapi masih belum dikurniakan anak. Walaupun si suami mengatakan anak bukanlah penentu kasih cinta mereka tetapi si isteri dapat merasakan bahawa si suami tersebut begitu teringinkan zuriat. Satu hari si isteri telah bertemu dengan sahabat lama beliau yang sudah menjanda dan beliau telah memaksa sahabat beliau untuk menjadi isteri kedua agar dapat mengurniakan zuriat di samping dia pun rasa tidak cemburu jika si suami berkahwin dengan sahabat baiknya.

Rupa-rupanya, si suami dalam diam-diam telah berkenalan dengan seorang wanita yang dia secara tidak sengaja telah terlanggar kereta wanita tersebut. SI suami saling berhubung dengan wanita tersebut sehingga membibitkan rasa cinta.

Si isteri pula menggunakan helah agar si suami dan sahabat baiknya bersetuju untuk berkahwin walaupun si suami telah mempunyai calon lain sebagai isteri kedua. Akhirnya si teman wanita telah berjumpa dengan si isteri untuk memohon restu untuk menjadi madu (berani betul perempuan itu!). Apa lagi….mengamuk lah si isteri hingga si wanita tadi lari meninggalkannya hingga menyebabkan dia terlibat dalam kemalangan.

Selepas kejadian tersebut si isteri telah dingin dengan si suami sehinggalah satu hari dia pengsan di rumah. Rupa-rupanyaa….DIA DISAHKAN MENGANDUNG !!

Setelah mengetahui dirinya hamil, si isteri tergamak menyuruh sahabatnya membatalkan perkahwinan dengan suaminya walaupun kenduri tinggal seminggu lagi dan kad telah diedarkan (kasihan sangat..) Si suami tidak bersetuju dengan tindakan si isteri tetapi isteri tetap berkeras. Akhirnya terputuslah persahabatan…

Walau bagaimanapun…ALLAH MAHA ADIL..

Selepas kejadian tersebut…tidak berapa lama si isteri keguguran. Lagu tema “Pada Syurga Di Wajahmu” dendangan NASH pun berkumandang…(sedih 🙁 ). TAMAT.

Banyak pengajaran dari cerita ini kan? Sila KOMEN apa pengajaran yang anda dapat daripada telefilem ini.

TITANIC (1998)

Rasanya cerita ini tidak perlu diulas lagi. Semua orang tahu dan ia memang best.

Filem ini mengambil masa yang lama untuk menontonnya. 3 JAM !! Saya ingat lagi saya menonton filem ini semasa baru mula kerja di IPOH. Pergi menonton dengan housemate saya di bulan puasa. Orang makan popcorns kami telan airliur sahaja 🙂 Dan saya menonton cerita ini 2 kali di panggung wayang sebab tidak puas..hihi

Cerita ini best ditambah pula dengan lagu Celine Dion iaitu “My Hearts Will Go On” ..fuhh. Memang meruntun perasaan.

THE GREEN MILE (1999)

Aduh…nak tulis mengenai filem ini pun saya dah rasa sebak.

Jika hendak diberikan ranking, saya akan beri filem TITANIC #1 dan filem ini #2. Jika tengok pelakon utama nya iaitu TOM HANK pun saya pasti ramai yang tahu bagaimana kehebatan beliau.

Cerita ini berkisar di penjara Green Mile di mana Tom Hank adalah ketua di penjara itu. Satu hari mereka dikejutkan dengan kemasukan seorang banduan berkulit hitam yang tinggi dan besar yang dituduh membunuh 2 adik beradik kanak-kanak perempuan kulit putih. Dia disabitkan jenayah tersebut kerana kanak-kanak tersebut dijumpai mati di pangkuan lelaki itu.

Jika melihat susuk tubuh dan rupanya beliau memang menakutkan…tetapi sebenarnya beliau seorang yang baik dan lembut hati membuatkan lama kelamaan warden di penjara itu tidak percaya baawa dia mampu melakukan pembunuhan tersebut.

Sepanjang perjalanan cerita ini ada banyak plot yang tidak dapat saya hendak tuliskan semua satu-satu. Saya cadangkan anda menonton sendiri filem ini. Filem ini juga berdurasi lebih 3 jam. Jika anda mempunyai minat yang sama dengan saya, saya pasti anda akan menonton filem ini sehingga habis tanpa rasa bosan.

Seperti biasa, the villain dalam cerita ini adalah salah seorang warden sendiri.

Memang penuh emosi filem ini…huhu

KABHI KUSHI KABHI GHAM (2001)

Selepas Kuch Kuch Hota Hai, filem Kabhi Kushi ini merupakan filem yang menjadi sebutan ramai orang. Sehingga hari ini, saya rasa sudah lebih 15 kali saya menonton filem ini iaitu sama ada slot TV1, TV2 atau TV3. Kebanyakannya di slot TV3 panggung Hindustan hari Sabtu lah.

Saya pasti semua sudah tahu jalan cerita ini kan.

Apa yang paling menarik perhatian saya dalam filem ini adalah bagaimana kasih seorang ibu terhadap anak angkatnya yang disayangi lebih daripada anak sendiri. Bagaimana sayangnya si ibu terhadap anak tadi di mana setiap kali si anak menjejakkan kaki, si ibu dapat merasakan kehadiran si anak.

Ada 2 adegan di mana setiapkali saya menonton cerita ini saya mesti menitiskan airmata.

Pertama, semasa si ibu berada di kompleks beli belah di London dan sebaik sahaja si anak memasuki kompleks berkenaan, si ibu sudah dapat merasakan kehadirannya sedangkan mereka sudah tidak berjumpa lebih 10 tahun. Bila si ibu mencari-cari dan akhirnya berjumpa si anak. Mereka berpelukan dan berjuraianlah air mata saya.. 🙂

Kedua, semasa si ayah yang garang memaafkan si anak. Bagaimana si ayah yang garang dan ego tersebut akhirnya kalah dengan kerinduan terhadap anak sulung kesayangan (walaupun beliau sebenarnya anak angkat). Masa ini pun berjuraian airmata saya setiap kali menonton cerita ini.

Cerita ini sesuai ditonton oleh semua lapisan masyarakat dan banyak memberi pengajaran.

Akan bersambung …. tunggu ya untuk filem/drama di bawah.

Winter Sonata (Korea/Series/2002)

Boomtown (Hollywood/Series/2002)

CSi : Las Vegas (Hollywood/Series/2007)

Interstellar (Hollywood/Film/2014)

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *