TOLONG LAH… jangan ambil mudah jika anak kerap sakit perut. Jika sudah dibawa ke klinik tetapi masih tidak sembuh, janganlah bawa ke klinik lagi. Sebaiknya terus bawa anak anda ke hospital untuk ujian selanjutnya. Ia berkemungkinan apendiks.
Saya tidak mahu anda melalui detik-detik cemas seperti saya lalui pada 29 Mac hingga 2 April 2020 sewaktu permulaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) baru-baru ini. Walaupun sudah dua kali ke klinik seminggu sebelum tu, doktor masih tidak dapat kesan dan saya serta suami pun percaya bahawa anak saya sakit perut disebabkan angin. Bila dibawa ke hospital ia sudah pun terlambat dan apendiks telah pun pecah. Saya tidak mahu ingat dan cerita apa yg telah berlaku tetapi cukuplah saya katakan ianya sangat mencemaskan, mendebarkan dan menakutkan.
Hanya kepada Allah SWT saya, suami dan keluarga berserah.
Setelah 9 malam di hospital barulah anakanda Sofea dibenarkan keluar wad.
Tolong ya … tanda apendiks adalah sakit yang teramat di bahagian bawah kanan perut. Jika tiada tanda itu, tapi sakit perut masih tak sembuh setelah 5 hari, ambillah tindakan selanjutnya.
Sebenarnya berbanding dengan anak-anak yang lain, saya perasan Sofea kerap sakit perut sejak tahun 2016 iaitu semasa dia darjah 3. Setiap kali ke klinik, doktor akan diagnos sebagai angin dan diberi ubat angin (charcoal) dan ubat tahan sakit. Kali terakhir dia sakit perut yang agak teruk semasa Ogos 2019 tahun lepas di mana cikgu kelas beliau terpaksa menghantar dia pulang ke rumah. Pada masa itu, dua hari juga dia tidak hadir ke sekolah.
Rupa-rupanya dia sebenarnya mengidap apendiks tetapi doktor di klinik tidak dapat kesan dari awal disebabkan apendiks Sofea tersorok di bawah usus besar dan lemak-lemak di sekitarnya. Ini seperti dimaklumkan oleh doktor bedah yang merawat Sofea. Terima kasih Doktor Sarinah Basro dari Hospital Avisena Shah Alam yang sangat profesional, cekap, lemah lembut dan sangat mengambil berat akan pesakit. Saya amat berterima kasih kepada beliau dan bersyukur kepada Allah swt kerana semua nya telah selamat.
Semoga Allah SWT mengampunkan dosa-dosa saya dan suami dan melindungi anak-anak kita dan kita semua.
Aamiin…
ASTAGHFIRULLAHALADZIM.
Apa Itu Apendiks/Appendicitis?
Saya ada bertanya kepada Doktor Sarinah Basro, kata beliau :
- Appendicitis adalah sakit di bahagian bawah kanan perut.
- Jika sakit perut masih tidak sembuh selepas 3 hari, elok bawa anak ke hospital untuk ujian darah.
- Tanda appendicitis apabila bacaan darah putih tinggi daripada normal.
- Walau bagaimanapun ia hanya dapat disahkan dengan cara pembedahan.
- Jika apendiks belum pecah, ia boleh dikeluarkan dengan cara tebuk yang dipanggil laparoscopy.
- Jika apendiks telah pecah seperti anak saya, kena buat pembedahan (open surgery) kerana doktor perlu bersihkan kuman-kuman yang telah merebak di dalam usus.
Saya doakan semoga anak-anak kita sihat walafiat … aamiin.
Jaga kesihatan ya!
